Daftar sekarang

Daftar sekarang

Friday, November 8, 2013

Utusan Malaysia : Pelaburan RM20.4b di Terengganu

Oleh Nik Jasni Che Jaafar

Jebasingam Issace John (tengah) diberikan penerangan mengenai perkembangan projek Kuala Terengganu City Centre (KTCC) oleh Pengurus Besar (infrastruktur) ECERDC, Arizan Arifin (dua, kiri) sewaktu melawat tapak KTCC di Kuala Terengganu, semalam.
KUALA TERENGGANU 7 Nov. - Terengganu berjaya menarik masuk pelaburan swasta bernilai RM20.4 billion daripada nilai keseluruhan RM53.8 billion sejak Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) diwujudkan lima tahun lalu.
Melalui pelbagai insentif yang diperkenalkan, tarikan pelabur ke negeri ini turut menyediakan 10,850 peluang pekerjaan di samping melahirkan 800 usahawan baru.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan ECER (ECERDC), Datuk Jebasingam Issace John berkata, dari segi jumlah pelaburan, Terengganu berada di tangga kedua selepas Pahang (RM 24.8 bilion), manakala Kelantan dan Mersing, masing-masing menerima RM7 bilion dan RM 1.6 bilion.
''Pelabur-pelabur termasuklah syarikat-syarikat bertaraf global seperti Petronas, Gevo dan Huntsman dari Amerika Syarikat , Arkema dari Perancis, CJ Cheiljedang dari Korea Selatan dan Shougang Corporation dari China," ujarnya.
"Hasilnya, pendapatan rakyat telah meningkat dan seterusnya membawa kepada peningkatan di dalam taraf hidup mereka. Inilah matlamat utama ECERDC yang sentiasa berganding bahu dengan kerajaan negeri bagi menggerakkan transformasi ekonomi negeri, demi manfaat rakyat.
''Pelaburan awam dan swasta telah memacu momentum transformasi ekonomi negeri ini dan negeri lain di pantai timur," ujarnya dalam sesi taklimat bersama media sempena ulang tahun ke-5 ECER di pejabat ECERDC Terengganu di di sini, hari ini.
Menurut beliau, kerajaan Pusat terus memberi fokus terhadap perkembangan ECER dan melalui ECERDC, sejumlah RM 1.11 bilion diperuntukkan untuk melaksanakan 41 projek ECER di negeri ini di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) dan RMK10," katanya.
''Pelbagai program yang dilaksanakan memberi tumpuan kepada aspek peningkatan sosioekonomi dengan tumpuan kepada projek berimpak tinggi, menepati tiga kriteria utama iaitu mewujudkan pekerjaan, meningkatkan pendapatan rakyat dan membuka peluang keusahawanan," ujarnya.
Di negeri ini, katanya, ECERDC sedang melaksanakan pelbagai projek dan program yang memanfaatkan sumber semulajadi seperti minyak dan gas asli, bijih besi, pertanian dan pelancongan.
Jelasnya, pembangunan Taman Biopolimer Kertih (KBP) sebagai lokasi loji bio-metionina dan tiokimia bersepadu pertama dunia yang akan beroperasi pada 2014 akan melonjakkan Terengganu sebagai pusat teknologi baru dan peneraju serantau dalam bidang bio-penapisan.
Projek lain, tambahnya, termasuk Taman Bio Herba Pasir Raja, Pusat Pembiakbakaan dan Inovasi Ternakan Biri-biri di Kuala Berang, Taman Industri Berat Kemaman serta Pusat Bandar Kuala Terengganu (KTCC).


Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20131108/ek_02/Pelaburan-RM204b-di-Terengganu#ixzz3lxhQqtcN 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Sinar Harian : Terengganu tarik RM20.4 bilion pelaburan

7 NOVEMBER 2013

KUALA TERENGGANU - Sejak penubuhannya lima tahun lepas, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berjaya menarik pelaburan swasta bernilai RM20.4 bilion ke Terengganu.
 
Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Jebasingam Issace John berkata, ia secara tidak langsung mewujudkan kira-kira 10,850 peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan dan 800 usahawan baharu di negeri itu.
 
"Pelabur, termasuk syarikat bertaraf global seperti Petronas (Malaysia), Gevo dan Huntsman dari Amerika Syarikat, Arkema dari Perancis, CJ Cheiljedang dari Korea Selatan dan Shougang Corporation dari China.
 
"Pelaburan awam dan swasta itu memacu momentum transformasi ekonomi di Terengganu dan hasilnya, pendapatan rakyat telah meningkat dan seterusnya membawa kepada peningkatan taraf hidup mereka," katanya kepada pemberita dalam satu sesi taklimat khas hari ini sempena ulang tahun kelima penubuhan ECER di Terengganu September lepas.
 
Kerajaan Persekutuan melalui ECERDC, memperuntukkan RM1.11 bilion untuk melaksanakan 41 projek ECER di Terengganu dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan RMK-10.

Pelaburan tersebut diluluskan bagi melaksanakan inisiatif pembangunan infrastruktur dan sosial, yang bertujuan meningkatkan daya tarikan Terengganu sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif, sekali gus meningkatkan status sosioekonomi rakyat.
 
Matlamat utama ECERDC, yang sentiasa berganding bahu dengan Kerajaan Negeri Terengganu, ialah untuk menggerakkan transformasi ekonomi negeri, untuk manfaat rakyat, katanya.
 
Beliau berkata projek pembangunan yang dirancang perlu memenuhi tiga kriteria iaitu mewujudkan peluang pekerjaan, peluang perniagaan dan peningkatan hasil isi rumah bagi penduduk setempat.
 
Di Terengganu, ECERDC kini melaksanakan pelbagai projek dan program yang memanfaatkan kekayaan sumber semula jadi yang terdapat di negeri ini seperti minyak dan gas asli, bijih besi, pertanian dan pelancongan.
 
Beliau berkata pembangunan Taman Biopolimer Kertih (KBP), yang memberi fokus pada sektor-sektor berkaitan bioteknologi, adalah bersifat saling melengkapi dengan industri minyak dan gas di Terengganu.
 
"KBP merupakan lokasi bagi loji biometionina dan tiokimia bersepadu pertama di dunia, yang akan melonjakkan kedudukan Terengganu sebagai pusat teknologi baharu dan peneraju serantau dalam bidang biopenapisan.  
 
"Terletak di kawasan seluas 70 hektar di KBP, projek bernilai RM2 bilion ini merangkumi pembangunan loji biometionina milik syarikat CJ CheilJedang dari Korea dan platform tiokimia milik syarikat Arkema dari Perancis," katanya.
 
Pembinaan sedang berjalan dan kemudahan itu dijangka mula beroperasi pada 2014.
 
Apabila siap, kilang bersepadu tersebut akan muncul sebagai kemudahan pertama di dunia menggunakan proses fermentasi dalam pengeluaran L-methionine, sejenis asid amino yang digunakan untuk pengeluaran makanan untuk haiwan ternakan.  
 
Satu lagi penggerak industri bioteknologi yang telah memilih Terengganu sebagai destinasi pelaburan mereka ialah Gevo, sebuah syarikat bahan kimia boleh baharu dan biobahan api generasi baharu yang berpangkalan di Colorado, Amerika Syarikat.
 
Jebasingam berkata Gevo merancang membina sebuah kilang pengeluaran isobutanol berasaskan bio daripada biojisim lignocellulosic di KBP, yang akan menjadikannya syarikat pertama mengeluarkan bahan tersebut daripada biojisim lignocellulosic secara komersil, apabila kilangnya di Kertih mula beroperasi kelak.  
 
"Bagi kluster pertanian, ECERDC mengenal pasti Taman Bio Herba Pasir Raja sebagai tapak penanaman komersil bagi 10 jenis herba bernilai tinggi yang menjadi bahan mentah untuk pengeluaran produk farmaseutikal dan nutraseutikal halal.
 
"Pembinaan prasarana asas, sedang giat dijalankan untuk menarik para pelabur ke Taman Bio Herba tersebut dan ia dijangka siap pada akhir 2013," katanya.    

Pada masa yang masa, ECERDC juga sedang membangunkan Pusat Pembiakbakaan dan Inovasi Ternakan Biri-biri Kuala Berang, yang akan mula beroperasi pada awal 2014.
 
Sebuah syarikat peneraju akan dikenal pasti untuk menggerakkan industri tersebut, khususnya melalui perkongsian teknologi dan amalan pertanian baharu dan terkini dengan petani tempatan, yang akan dibimbing untuk menjadi petani kontrak.
 
Beliau berkata selain itu, satu lagi projek strategik ECER ialah Taman Industri Berat Kemaman (KHIP), yang dibangunkan untuk memanfaatkan sumber bijih besi tempatan yang terdapat di negeri Terengganu.
 
"Taman industri ini akan memfokuskan kepada bidang fabrikasi besi dan keluli untuk menyokong operasi huluan syarikat-syarikat minyak & gas utama di Terengganu.
 
"Pelabur-pelabur terbesar KHIP ialah Eastern Steel, sebuah syarikat usaha sama antara Hiap Tech Venture Berhad dari Malaysia dan Shougang Corporation, yang merupakan sebuah syarikat Fortune 500 dari China," katanya.
 
Eastern Steel melabur RM1.8 bilion untuk membina kompleks kilang keluli bersepadu di Teluk Kalung yang akan menggunakan teknologi baharu dalam industri besi dan keluli.
 
Bagi kluster pelancongan, ECERDC melancarkan pembangunan Kuala Terengganu City Centre (KTCC) pada 2011 bagi memperkukuh peranan dan kedudukan bandar Kuala Terengganu sebagai Gerbang Pelancongan Timur di ECER.
 
Beliau berkata pelan induk KTCC meliputi beberapa komponen utama iaitu pelancongan, perdagangan, pendidikan, kesihatan dan kediaman, yang akan mempertingkatkan daya tarikan bandar Kuala Terengganu sebagai pusat pelancongan dan penginapan.
 
ECERDC juga akan membina sebuah jambatan gantung yang akan menghubungkan Muara Selatan dan Muara Utara di bawah pembangunan KTCC.
 
Selain menjadi mercu tanda ikonik bagi sebuah bandar moden, jambatan tersebut juga akan berfungsi sebagai sistem penyuraian trafik.
 
Katanya pembinaan jambatan ini akan bermula pada Januari 2014 dan dijadualkan siap pada tahun 2016. Kerja-kerja pembinaan prasarana sedang dilaksanakan di Muara Selatan dan dijadualkan siap bulan ini.
 
"KTCC Mall Sdn Bhd pula telah memberikan komitmen pelaburan berjumlah RM1 bilion untuk membina pusat membeli-belah, sebuah hotel 4-bintang dan 500 unit suit perniagaan di KTCC.
 
"Pusat membeli-belah tersebut dijangka mula beroperasi pada akhir tahun 2014, sementara hotel  dijangka siap pada hujung 2016," katanya.
 
Kini secara amnya, jurang kemiskinan antara Pantai Timur dan Pantai Barat sudah bertambah baik menerusi pelancaran beberapa projek berimpak tinggi di ECER.
 
"Sasaran kita tiada lagi kemiskinan tegar di Terengganu menjelang 2020, pasti tercapai," katanya. - Bernama

http://www.sinarharian.com.my/terengganu-tarik-rm20-4-bilion-pelaburan-1.218628